LaraMag

collapse
Home / POLITIK / Nama besar tidak beri jaminan untuk menang PRU15 - Aminuddin

Nama besar tidak beri jaminan untuk menang PRU15 - Aminuddin

Nov 05, 2022  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Kehadiran nama besar seperti Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menjamin bahawa kemenangan akan berpihak kepada mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata apabila memasuki pilihan raya, semua calon yang bertanding sudah pasti mempunyai keyakinan untuk menang. Bagaimanapun, beliau berkata keputusan akhir akan bergantung kepada pengundi itu sendiri arah mana yang hendak dituju dan kerajaan mana yang hendak dipilih. "Jadi kita sedar ada dua nama besar dalam Parlimen Tambun tetapi itu tidak menjamin kemenangan kepada mereka. "Sebelum ini, kita pernah tengok dulu ada nama besar di Tambun tetapi dia tewas. "Ia bergantung kepada kehendak pengundi dan perubahan sikap dan minda pengundi, arah mana yang hendak dituju dan kerajaan mana yang hendak dipilih. "Kita (BN) pun sama macam mereka, kita pun berkeyakinan untuk menang dan akan bekerja kuat untuk mencapai kemenangan dalam tempoh berkempen pada kali ini," katanya. Beliau ditemui di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh selepas selesai sesi penamaan calon pada Sabtu. Katanya, BN masih memberikan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan Parlimen Tambun walaupun tidak menjawat sebarang jawatan. "Kita akan terus bekerja kuat dan akan terus meyakinkan penyokong dan pengundi bahawa kita adalah yang lebih baik daripada mereka. "Saya merasakan rakyat di kawasan ini tahu parti mana yang hendak dipilih pada 19 hari bulan nanti," ujarnya. #PerakKini #BarisanNasional #BN #ParlimenTambun #PRU15  

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.