Oleh Rosdalilah Zahari
ULU KINTA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berbincang soal politik tetapi berbincang mengenai masalah rakyat, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak yang mengatakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang diadakan 8 Jun lalu turut membincangkan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Menurutnya, pada mesyuarat itu mereka hanya berbincang mengenai persiapan parti berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bagaimana cara terbaik untuk membantu kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat. "Kami berbincang mengenai persiapan parti berhubung pilihan raya, masalah kos sara hidup, harga makanan yang tinggi serta cuba mencari jalan bagaimana untuk membantu kerajaan untuk menangani masalah rakyat. "Sepanjang mesyuarat itu, kami tidak berbincang tentang kedudukan Perdana Menteri kerana kami menyokong Perdana Menteri sedia ada dan kami mahu satu kerajaan yang stabil yang boleh memberi fokus kepada masalah rakyat dan bukannya kepada masalah peribadi atau politik," katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas a merasmikan Surau Al-Faizin Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan di Ulu Kinta, di sini pada Isnin. Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata apa yang penting adalah masalah rakyat perlu diutamakan. "Masalah rakyat perlu diutamakan. Itu yang telah kami bincangkan. "Kalau ada ura-ura berkenaan perbincangan lain itu, bohong," jelasnya. #PerakKini #Bersatu #Ipoh #Perak