LaraMag

collapse
Home / UMUM / MBI tegas tangani rasuah, tiada kompromi - Datuk Bandar Ipoh

MBI tegas tangani rasuah, tiada kompromi - Datuk Bandar Ipoh

Sep 05, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) amat tegas dalam menangani isu rasuah serta tidak berkompromi dengan mana-mana kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit yang didapati melakukan perkara tidak bermoral itu. Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata pelbagai aktiviti dilaksanakan serta dalam perancangan diatur pengurusan MBI bersama antaranya taklimat dan ceramah integriti berkaitan kesan penyalahgunaan rasuah, hebahan bahan cetakan dan sebagainya. Sehubungan itu, beliau berkata MBI mengadakan Bengkel Pembangunan Anti Bribery Management System (ABMS) buat pertama kali bertujuan untuk memperteguhkan nilai-nilai integriti dan menyatakan pendirian majlis dalam agenda memerangi rasuah dan sebarang risiko atau kos yang terselindung berkaitan dengan kegiatan rasuah membabitkan majlis. "Di antara usaha-usaha yang dilaksanakan bagi mengekang perlakuan rasuah di MBI termasuklah Pelan Anti Rasuah Organisasi MBI 2021-2025; pengisytiharan harta penjawat awam diteruskan dan diperluaskan kepada semua gred dan meningkatkan imej Majlis menerusi pengiktirafan profesionalisme Pegawai Majlis melalui penglibatan aktiviti atau pekerjaan luar. "MBI juga turut meneruskan program-program pengukuhan integriti yang berkualiti untuk terus membimbing dan menerapkan nilai-nilai positif dalam diri kakitangan awam dan swasta negeri," katanya. Rumaizi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Bengkel Pembangunan Anti Bribery Management System (ABMS) ISO 37001:2016 di sini pada Selasa. Dalam pada itu, katanya perbuatan rasuah bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, malahan sebarang bentuk pemberian atau tajaan yang mendorong seseorang individu untuk melakukan atau tidak melaksanakan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi sebagaimana yang diamanahkan kepadanya. "Selain itu, perlu difahami bahawa salah guna kuasa pula berlaku apabila seseorang individu menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan. "Ini juga sebenarnya perbuatan rasuah yang perlu ditolak dan dicela. MBI tidak akan sesekali melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah. "Sebarang bentuk ketirisan wang awam yang disebabkan oleh perlakuan rasuah akan dihentikan serta-merta dan tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil," jelasnya. Menurutnya, MBI tidak akan berkompromi dengan pelaku rasuah dan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya sesiapa yang didapati bersalah, perlu menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya. #PerakKini #MBI #rasuah #RBZ      

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.