IPOH - Pindaan Enakmen Perladangan Unggas Negeri Perak 2005 untuk mengenakan hukuman lebih tinggi terhadap penternak yang mencemar alam sekitar di negeri ini akan dibentang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 22 hingga 26 Mei ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad (gambar) berkata pindaan itu diharap dapat mengawal, sekali gus menyelesaikan isu-isu penternak termasuk isu lalat yang berpunca daripada ladang ayam di sekitar Daerah Manjung.
“Kita akan bentang pindaan enakmen pada sidang Dun akan datang dan diharap masalah-masalah termasuk pengurusan tinja daripada reban-reban penternakan ayam ini dapat kita kawal,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Terdahulu, viral di Tik Tok, penduduk Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sitiawan merayu campur tangan menteri besar berhubung isu lalat yang terlampau banyak di kawasan perumahan mereka.
Masalah lalat yang turut berlaku di Lumut, Pengkalan Baharu, Beruas dan Lekir itu difahamkan berpunca daripada ladang ternakan ayam, termasuk yang tidak berlesen, di kawasan itu.
Saarani berkata masalah lalat bukan hanya disebabkan oleh pengusaha reban ayam tetapi juga peladang kelapa sawit yang mengambil najis ayam untuk dijadikan baja.
Katanya keadaan menjadi teruk apabila najis itu tidak diurus dengan baik terutama ketika cuaca hujan, yang menyebabkan najis basah dan mengundang lalat.
Untuk rekod, pada masa ini Enakmen Perladangan Unggas Negeri Perak 2005 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya terhadap pengusaha yang melakukan pencemaran alam sekitar. -BERNAMA