Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Kerajaan Perak menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa projek rintis perlombongan mineral baharu latanid yang ditemui di Gerik itu sudah dimulakan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerja-kerja berkenaan masih belum dimulakan kerana perlu melalui beberapa proses lain selepas memperoleh kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) baru-baru ini.
Menurutnya, struktur lama yang dilihat adalah kerja-kerja pembuatan jalan dan kolam tadahan susulan penemuan bijih timah di kawasan yang terletak di Hulu Perak itu.
"Saya ingat perkara ini sudah lama sebelum saya menjadi Menteri Besar, kerajaan terdahulu berhubung mineral baharu itu dan ia juga sudah dimulakan secara kecil-kecilan di dalam tanah kepunyaan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).
"Bagaimanapun, selepas saya dilantik menjadi Menteri Besar, ketika mengadakan lawatan program mesra di Gerik didapati sudah ada tanah yang dikorek lubang.
"Jadi, kita berhentikan kerja-kerja itu pada Januari tahun lalu kerana ia belum mendapatkan kebenaran daripada Kementerian (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Hari Koperasi Negara 2022 (HKN22) sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi, Sambutan Usahawan Negara (MUN) dan Minggu PKS Peringkat Negeri Perak di Casuarina Meru, pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Penilaian Impak Sosial (SIA), untuk mendapatkan kebenaran merancang (KM).
"Kita sudah mendapat surat kelulusan EIA dan kini perlu memohon KM daripada Majlis Daerah Gerik namun masih panjang lagi perjalanan sebelum projek itu boleh diteruskan," ujarnya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan bahawa terdapat imej satelit mendedahkan perkara yang disyaki seorang aktivis alam sekitar adalah bukti operasi perlombongan yang sedang dijalankan di tapak tersebut.
Berikutan itu, timbul tanda tanya kenapa nampaknya kerja-kerja telah dimulakan di tapak di Hulu Perak dekat Gerik lebih setahun sebelum kerajaan meluluskan projek perlombongan nadir bumi.
#PerakKini #lombong #nadirbumi #Gerik #HuluPerak