Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Ramai penduduk dalam kalangan kumpulan B40 masih tidak memanfaatkan program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang diberikan secara percuma.
Sehubungan itu, Klinik Suppayah, kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanah Hitam Chemor mengambil inisiatif mengadakan saringan kesihatan percuma melalui PeKa B40 semalam.
Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyarankan mereka yang layak supaya mengambil peluang menjalani saringan kesihatan secara percuma.
Katanya, masih ramai yang tidak mengambil peluang untuk memanfaatkan program PeKA B40 yang disediakan secara percuma kepada penerima bantuan sara hidup kerajaan, terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas membabitkan ketua keluarga dan pasangan.
"PeKa B40 bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi fokus kepada penyakit tidak berjangkit.
"Berikutan itu, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, program saringan kesihatan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan lokasi seterusnya adalah di perkampungan Orang Asli," katanya ketika ditemui Perak Kini di Dewan Komuniti RPT Seri Desa Tanah Hitam, Chemor pada Sabtu.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang PeKa B40 (www.pekab40.com.my) bagi menyemak kelayakan dan lokasi klinik yang berdaftar di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) untuk memanfaatkan kemudahan itu.
#PerakKini #B40 #PeKaB40 #DUNHuluKinta #Chemor