Kuala Lumpur – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Maldives atas keputusan berani dan berprinsip mereka untuk melarang kemasukan warganegara Israel ke negara itu.
Langkah tegas yang diumumkan oleh Presiden Maldives, Mohamed Muizzu, disifatkan oleh MAPIM sebagai satu tindakan jelas yang melambangkan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin yang telah lama menderita di bawah penjajahan, dasar apartheid, dan keganasan rejim Israel.
Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, keputusan Maldives ini merupakan manifestasi keberanian dalam diplomasi global dan mencerminkan suara hati nurani kemanusiaan, terutama pada saat banyak pihak dalam masyarakat antarabangsa memilih untuk berdiam diri atau bersikap sambil lewa terhadap isu Palestin.
“MAPIM mengalu-alukan tindakan penuh keberanian ini sebagai contoh kepimpinan etika dalam arena diplomasi antarabangsa. Kami menggesa negara-negara majoriti Muslim serta semua pihak yang cintakan keadilan agar mengikuti jejak Maldives dalam memberikan sokongan nyata terhadap perjuangan pembebasan Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MAPIM turut menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin, dan menyatakan bahawa tekanan diplomatik dan ekonomi terhadap rejim Israel amat diperlukan bagi menghentikan penindasan serta pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin.
Dalam kenyataan itu, MAPIM menyatakan solidariti penuh dengan Maldives dan menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan ASEAN untuk mengiktiraf serta menyokong inisiatif berani seperti ini demi mempertahankan undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan keadilan sejagat.

