Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Seorang daripada sembilan mangsa yang terlibat dalam insiden bot terbalik di pantai peranginan Teluk Batik pagi semalam meninggal dunia awal pagi tadi.
Nurul Afiqah Abdullah Sani, 34, menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 4.48 pagi di Hospital Seri Manjung, dekat sini.
Berita kematian Nurul Afiqah dimaklumkan melalui hantaran Facebook adiknya, Khairul Naim pada Selasa.
Melalui hantaran Facebook itu, adik mangsa memaklumkan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Bagan Tiang, Parit Buntar dan dikebumikan selepas solat Zohor.
Semalam, Perak Kini melaporkan tujuh pelancong dan dua kru terlibat dalam insiden bot terbalik yang dipercayai berlaku ketika melakukan aktiviti rekreasi berhampiran pantai peranginan tersebut.
Kejadian itu membabitkan tujuh pelancong tempatan dan dua kru berusia antara tiga hingga 34 tahun.
Difahamkan sewaktu kejadian, bot tersebut ingin menurunkan penumpang di tepi pantai namun hilang kawalan lalu terbalik ke sebelah kiri sehingga menyebabkan air masuk ke dalam bot dan menenggelamkannya.
#PerakKini #meninggaldunia #tragedibotterbalik #AlFatihah #Ipoh #Manjung #RBZ