CHEMOR – Majlis Apresiasi Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kelebang menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh pelajar, guru serta ibu bapa pada setiap penghujung sesi persekolahan.
Majlis ini diadakan bagi meraikan dan mengiktiraf kejayaan murid dalam pelbagai bidang termasuk akademik, kokurikulum serta sahsiah. Inisiatif ini dilihat sebagai penghargaan intrinsik yang mampu menyemai motivasi diri serta mendorong murid untuk terus mencapai kejayaan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Dato’ Asmuni Awi. Turut hadir ialah Guru Besar SK Seri Kelebang, Ahmad Azhar Shaharudin serta Pengerusi PIBG sekolah tersebut. Majlis berlangsung di Dewan Dato’ Seri Husni Hanadzlah.
Sebanyak empat kategori anugerah khas telah disampaikan iaitu Tokoh Akademik, Tokoh Sahsiah, Tokoh Kokurikulum dan Tokoh Sukan kepada pelajar terpilih. Penyampaian anugerah ini turut disaksikan oleh ibu bapa yang mengiringi anak-anak mereka ke pentas utama.
Selain itu, Anugerah Pencapaian Terbaik bagi Kelas Pemulihan Tahap 1 dan Tahap 2 serta Anugerah Kecemerlangan Mata Pelajaran turut diberikan kepada murid yang menunjukkan prestasi cemerlang.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan daripada pelajar, sekali gus menambah kemeriahan suasana sepanjang acara berlangsung.
