IPOH - Kerajaan Perak menegaskan lokasi penemuan mineral baharu dan projek rintis perlombongan 'lantanid' di Gerik, daerah Hulu Perak, bukan berada di bawah kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) seperti didakwa beberapa pihak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata sebaliknya lokasi penemuan nadir bumi itu disahkan berada bawah kawasan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).
"Peraturan memang mengatakan tidak boleh mengadakan perlombongan dalam kawasan Hutan Simpan Kekal.
"Kawasan yang hendak kita buat (projek rintis lantanid) ini bukan HSK, ini adalah tanah milik SADC," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030, di sini hari ini.
Saarani berkata, justeru beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memeriksa fakta sebelum membuat dakwaan.
"Jadi, mereka yang membuat dakwaan ini saya minta tolong, kita menghormati kecenderungan mereka untuk menjaga keselamatan, tetapi tolong semak dengan jabatan berkaitan," katanya.
Beliau juga menafikan dakwaan mengatakan lokasi projek itu dilakukan di dalam kawasan Central Forest Spine (CFS).
"Ia terbuka, boleh semak dan rujuk dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), namun kita sudah mengesahkan bahawa ia di luar kawasan CFS.
"Saya sendiri sudah semak, memang sah ia bukan dalam HSK dan CFS. Jadi, mana-mana pihak termasuk NGO diminta agar tidak berdebat perkara di luar pengetahuan yang hanya akan menimbulkan huru-hara," katanya.
Semalam, media melaporkan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri mengkaji semula pelaksanaan projek melombong nadir bumi lantanid di Hulu Perak.
Pegawai Lapangannya, Meor Razak Meor Abdul Rahman dilaporkan berkata, jika diteruskan, ia dikhuatiri akan menjejaskan alam sekitar termasuk mengganggu hidupan liar di kawasan berkenaan.
Mei lalu, kerajaan Perak mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak, selain bijih timah.
Sumber: Berita HarianĀ