Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Seorang lelaki yang videonya tular di media sosial memukul kepala seorang pemandu wanita dicekup polis pada Selasa.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan di Serdang, Selangor dan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, terdahulu polis menerima laporan polis dibuat oleh seorang wanita berusia 24 tahun pada Selasa di Balai Polis Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor.
"Susulan itu, polis menjejaki suspek menerusi nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki suspek atas nama seorang wanita beralamat di Tanjong Karang, Selangor dan menahan penyelia kilang itu di Serdang, Selangor," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku pada 5 Jun jam 5.33 petang dan mangsa dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.
"Sewaktu kejadian, mangsa cuba memotong sebuah kereta Proton Persona warna kelabu yang berada di hadapannya namun tidak dapat berbuat demikian.
"Suspek kemudiannya menunjukkan isyarat lucah sehingga jalan mula menjadi sesak berhampiran dengan Pusat Peranginan Lata Iskandar sebelum turun dari kenderaannya dan mengetuk cermin kereta mangsa.
"Mangsa menurunkan cermin kereta untuk berbincang namun suspek telah memarahi dan secara tiba-tiba memukul kepala mangsa serta mengeluarkan kata-kata ugutan," katanya.
Justeru, Mohd Yusri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 323, 506 dan 509 Kanun Keseksaan.
Pada hari ini, tular video seorang lelaki yang memukul kepala seorang wanita dipercayai akibat tidak berpuasa hati dengan cara pemanduan wanita tersebut.
#PerakKini #PDRM #lelaki #pukul #wanita #ditangkap #RBZ