Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Polis berjaya menyelesaikan kes samun kedai emas melibatkan seorang lelaki menggunakan pistol mainan di Jalan Sultan Iskandar, di sini petang tadi hanya dalam tempoh 30 minit.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata siasatan awal mendapati dalam kejadian lebih kurang jam 2 petang itu suspek terbabit telah masuk ke dalam sebuah kedai emas di Jalan Sultan Iskandar dan menyatakan ingin membeli rantai emas.
"Selepas melihat rantai emas yang ditunjukkan pekerja kedai, suspek terus mengambil rantai emas itu dan mengacukan senjata menyerupai pistol lalu melarikan diri.
"Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan polis ketika dia dikejar beberapa orang awam di Jalan Dato' Onn Jaafar
"Sewaktu tangkapan dibuat polis merampas sepucuk pistol mainan buatan plastik yang disimpan di dalam beg silang milik suspek," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu samun menggunakan senjata.
Katanya, suspek berusia 32 tahun yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk ditahan reman bagi siasatan lanjut.
#PerakKini #samun #kedaiemas #pistolmainan #Ipoh