Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Laporan penuh siasatan berkaitan insiden runtuhan kuari batu kapur di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, Selasa lalu yang mengorbankan seorang pekerja warga asing dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak, A Sivanesan berkata siasatan awal yang dijalankan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati tiada unsur kecuaian majikan dalam kes berkenaan.
Melalui laporan awal yang diterima, Sivanesan berkata majikan terlibat sudah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurutnya, berdasarkan laporan awal terdapat empat pekerja termasuk mangsa di lokasi kejadian membabitkan mangsa sebagai pemandu jengkaut, serta tiga rakan sekerja lain termasuk seorang 'spotter' (pengesan) yang berperanan meninjau situasi di sekeliling kuari supaya kerja-kerja dapat dijalankan dalam keadaan selamat.
Katanya, sewaktu kejadian 'spotter' terbabit telah mengesan pergerakan batu-batu kecil dipercayai akibat hujan yang berlaku sebelum itu.
"Spotter terbabit memberi amaran kepada ketiga-tiga pekerja termasuk mangsa yang sedang bekerja untuk beredar daripada lokasi kerana situasi di kawasan itu berada dalam keadaan tidak selamat.
"Mangsa, pemandu lori, dan pemandu 'breaker' kemudiannya keluar dari jentera dan berlari ke tempat selamat, bagaimanapun mangsa berpatah balik semula ke jengkaut yang dikendalikannya kerana dipercayai tertinggal barangan peribadi," katanya kepada media selepas mengadakan tinjuan ke lokasi kejadian pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah JKKP Perak, Dr Rabaayah Daud.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak sembilan kes kematian membabitkan kemalangan di kuari batu kapur direkodkan dari tahun 2017 hingga 2023.
"Berdasarkan laporan awal majikan dilihat sudah mematuhi SOP, bagaimanapun kalau berlaku (kemalangan) atas kesilapan majikan, jadi boleh ambil tindakan," katanya.
Semalam, JKKP mengeluarkan kenyataan bahawa kawasan lokasi kuari yang berlaku insiden kemalangan tersebut ditutup buat sementara waktu.
Dalam kejadian Selasa lalu, seorang pekerja warga Pakistan maut dalam insiden runtuhan kuari batu kapur yang berlaku berhampiran lokasi kejadian sama tahun lalu di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini pada Selasa.
Ketika kejadian, mangsa, Sohail Sajad, 36, bersama dua rakan sekerja lain sedang menjalankan kerja mengalihkan batu menggunakan jengkaut di kawasan tersebut sebelum dimaklumkan berlaku runtuhan kecil.
#PerakKini #PDRM #JBPM #JKKP #jengkaut #hempap #batu #kuari #maut #RBZ