Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Pembukaan empat jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang dijangka beroperasi hujung tahun ini dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik khususnya ketika musim perayaan.
Ketua Operasi Lebuh Raya West Coast Expressway Sdn Bhd (WCESB), Syed Muhd Naguib Syed Mohd berkata empat jajaran tersebut adalah Seksyen 1, 2, 6 dan 11 membabitkan kawasan seperti Banting, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Assam Jawa dan Taiping Selatan.
Menurutnya, jajaran Beruas ke Taiping Selatan atau Seksyen 11 sudah siap sekitar 88 peratus dan laluan sepanjang 35.5 kilometer (km) itu dijangka beroperasi pada akhir tahun ini.
"Pembinaan kini membabitkan kerja-kerja pembinaan cerun, elemen tol dan mekanikal.
"Sebagai tambahan kita merentasi Hutan Simpan Bubu dan sebagai langkah pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem, kita menyediakan dua 'animal box culvert' atau pembentung kekotak haiwan yang membolehkan perhubungan haiwan dapat dikekalkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus WCESB bersama media negeri Perak di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Muhd Naguib berkata setiap plaza tol disediakan Hentian Sebelah yang dilengkapi kemudahan surau, tandas dan mesin tambah nilai.
"Di samping itu, kita bercadang untuk bina empat hab kemudahan mengecas kenderaan elektrik (EV) iaitu dua di Selangor dan dua di Perak iaitu di Lekir dan Teluk Intan," jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan jajaran Laluan Persekutuan Malaysia 5 (FR5) dengan panjang keseluruhan 275.8 km dijangka menerima sekurang-kurangnya 300,000 kenderaan sehari apabila siap sepenuhnya pada hujung tahun hadapan atau awal 2025.
#PerakKini #WCE #WCESB #lebuhraya #Beruas #Taipiatan #RBZ