Oleh Rosdalilah Zahari
TAIPING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Taiping melalui Ops Tiris berjaya membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan minyak diesel bersubsidi melalui satu serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Kampung Dew, Simpang, Perak awal pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata
serbuan jam 6.15 pagi itu adalah hasil pemantauan dan intipan selama dua minggu ke atas aktiviti pembelian minyak diesel di stesen minyak sekitar daerah ini yang menggunakan lori dan pacuan empat roda.
Menurutnya, hasil serbuan yang dijalankan, Pegawai Penguat Kuasa KPDN Taiping menyita dua buah kenderaan pacuan empat roda bersama minyak diesel sebanyak 1,320 liter yang berada di dalam tujuh buah tong drum dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM108,838.
Katanya, dua lelaki yang memandu pacuan empat roda berumur 36 dan 48 tahun ditahan untuk siasatan lanjut manakala stesen minyak yang terlibat juga disiasat kerana disyaki bersubahat membenarkan pembelian minyak diesel selain tangki asal kenderaan oleh individu/syarikat yang tidak mempunyai Permit Khas barang kawalan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.
"Modus operandi aktiviti sindiket penyelewengan itu menggunakan dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda yang dilihat membeli minyak diesel di stesen minyak dan mengisinya ke dalam beberapa buah tong drum yang ditutup dengan kain kanvas di atas kenderaan tersebut bagi mengaburi kegiatan mereka.
"Setiap pembelian dianggarkan sebanyak 200 liter bagi setiap tong drum dan sindiket itu mengulangi transaksi pembelian secara berterusan dengan mengisi ke dalam dua hingga tiga buah tong drum lagi masing-masing di atas dua buah kenderaan terbabit dan dipercayai adalah untuk kegunaan jentera berat mereka sendiri.
"Selain itu, hasil pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati pemandu bagi kedua-dua pacuan empat roda tersebut tidak mempunyai kebenaran bertulis atau Permit Khas yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia bagi membeli minyak diesel di stesen minyak," jelasnya.
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
#PerakKini #KPDN #tahan #seleweng #minyakdiesel #subsidi #RBZ