Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tapah menyerbu sebuah premis yang dipercayai menjalankan perniagaan menjual gas petroleum cecair (LPG) pelbagai jenama tanpa lesen di Tapah Road dekat sini, pada Jumaat.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata operasi dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa kira-kira jam 3 petang turut menyita 55 tong gas LPG yang tidak mempunyai lesen barang kawalan yang sah.
Menurutnya, serbuan itu dijalankan hasil daripada makluman awam yang memaklumkan premis tersebut menjalankan aktiviti penjualan runcit barang kawalan LPG.
"Ketika pemeriksaan dijalankan, seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun dipercayai pemilik premis turut berada di premis dan sedang melakukan urus niaga.
"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis itu, kita turut menemui 55 tong gas pelbagai jenama disyaki berisi gas LPG berjaya ditemui di dalam premis tersebut.
"Pemeriksaan juga mendapati pemilik premis gagal mengemukakan lesen barang kawalan yang sah," katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Beliau berkata, selain tong gas LPG, pihaknya turut menyita buku rekod jualan, invois pembelian dan dokumen lain dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5,676.
"Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," ujarnya.
Kamalludin turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan pihak berkuasa dalam menjalankan aktiviti jualan gas LPG runcit.
#PerakKini #KPDNTapah #rampas #tonggas #LPG #tanpalesen #RBZ