Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 1,500 unit barangan seperti kasut dan set pakaian sukan pelbagai jenama tiruan bernilai RM83,000 semalam.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dijalankan di premis sekitar Jalan Pasar, Parit Buntar dan tindakan diambil mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
Menurutnya, operasi membabitkan 20 anggota penguatkuasa bersama wakil kepada pemilik cap dagang itu dijalankan pada jam 12 tengah hari.
"Hasil risikan telah berjaya mengesan empat premis di lokasi yang disyaki dijadikan stor penyimpanan barang tiruan.
"Pemeriksaan menemukan keseluruhan unit barangan itu yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini pada malam tadi.
Sehubungan itu, beliau Perak mengingatkan peniaga supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain dan memberi amaran kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang.
#PerakKini #KPDN #rampas #barangtiruan #ParitBuntar #RBZ