Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan tujuh kes kematian akibat malaria bermula awal tahun ini sehingga 9 Julai lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata daripada jumlah itu enam daripadanya membabitkan kes malaria zoonotik manakala baki adalah kes malaria manusia.
Menurutnya, kematian itu dilaporkan berlaku di Terengganu dan Sabah (masing-masing dua kes) manakala Batu Pahat,Johor; Kanowit, Sarawak dan Raub, Pahang mencatatkan satu kes kematian akibat jangkitan itu. "Bagaimanapun, setakat ini kes masih berada dalam keadaan terkawal. "Namun, kita tidak boleh leka kerana kita mahu memberi kesedaran bahawa malaria masih wujud di negara ini dan kebanyakannya adalah daripada zoonotik," katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, pada Ahad. Hadir sama, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin. Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata sebanyak 1,311 kes malaria zoonotik dan 136 kes malaria manusia direkodkan bermula awal tahun sehingga 9 Julai lalu dengan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 782 kes malaria zoonotik dan empat kes malaria manusia. Berikutan itu, beliau meminta syarikat berkaitan perusahaan perladangan melakukan saringan kesihatan terhadap pekerja termasuk pekerja asing. Katanya, mereka yang bekerja di sektor itu lazimnya duduk lama di dalam hutan jadi mereka digalakkan untuk menggunakan kelambu berubat dan ubat-ubatan pelindung lain yang berkaitan. "Pada syarikat yang menjalankan perusahaan di dalam hutan, semua pekerja termasuk pekerja asing digalakkan untuk membuat saringan secara berkala agar tidak terkena jangkitan," jelasnya.#PerakKini #Malaria #zootonik #manusia #Malaysia