Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Polis telah merakam percakapan tiga individu berkaitan kes buli membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat Rapat, di sini.
Tiga individu terbabit adalah Pengetua dan pelajar sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu pelajar terbabit memaklumkan anak lelakinya dibuli oleh seorang pelajar berumur 17 tahun di asrama sekolah tersebut pada 24 Julai lalu.
Menurutnya, pelajar yang membuli mangsa telah dikenal pasti dan masih bersekolahan di Tingkatan Lima namun diarahkan oleh pihak sekolah supaya tidak menetap di asrama sekolah sementara menunggu siasatan dalaman pihak sekolah.
"Mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur itu menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dia mengalami kecederaan tisu lembut akibat dipukul oleh pembuli.
"Sehingga kini, pihak siasatan telah merakamkan percakapan tiga orang saksi untuk membantu dalam siasatan kes ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kertas siasatan kes akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Terdahulu, Perak Kini melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga di sekolah menengah tersebut dipercayai dibuli selepas ditendang dan dipijak oleh pelajar senior Tingkatan Lima dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara.
#PerakKini #buli #sekolah #sepaktakraw #RBZ