Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Kerajaan Negeri Perak merakamkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat sewa khas yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina di Shah Alam, Selangor petang tadi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mewakili kerajaan negeri turut bersimpati dan bersedih di atas peristiwa yang berlaku.
"Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat. Kita berharap mereka tabah dan reda dengan ketentuan.
"Dalam pada itu, kita berharap ada usaha yang akan dibuat untuk mengelak kejadian daripada sama berulang," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan perjumpaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian sekitar jam 2.40 petang tadi, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di Elmina.
Pesawat berkenaan dilaporkan turut merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing seorang individu dalam setiap kenderaan.
Akibat kejadian itu, 10 orang maut termasuk Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
#PerakKini #KerajaanNegeriPerak #ucap #takziah #maut #pesawat #terhempas #Selangor #Elmina #RBZ