Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Kerajaan Negeri Perak berharap supaya Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan permohonan RM3 bilion sebagai peruntukan tambahan untuk dimasukkan di dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan 24 Februari ini.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata permohonan itu dibuat bagi menyelesaikan masalah-masalah berkaitan rakyat supaya dapat hidup dalam keadaan lebih selesa.
"Banyak yang kita mohon (peruntukan) tapi kita utamakan yang berkaitan dengan rakyat secara terus. Contoh rungutan orang ramai berkaitan dengan jalan raya yang rosak (termasuk) Lebuhraya Timur Barat (Gerik-Jeli) dan rungutan orang ramai berkaitan ketidakcukupan katil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
"Tapi kita (kerajaan negeri) minta Kementerian Kewangan berikan keutamaan kepada kita sebab selepas Covid-19 kita perlu bangunkan dan mensejahterakan balik rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa serta Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma Di Bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) Tahun 2023 di Pejabat Menteri Besar Perak pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani esok Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan akan hadir menyampaikan taklimat berhubung peruntukan yang diberikan kepada Perak dalam Bajet 2023 kepada semua Exco Kerajaan Negeri dan wakil rakyat termasuk daripada pembangkang.
"Pada sesi taklimat itu, mereka yang terbabit turut akan memberi pandangan balas kepada Kementerian Kewangan.
"Jadi, diharap Bajet 2023 itu belum dibukukan lagi (dimuktamadkan) supaya apa sahaja pandangan dan permintaan kita esok sedikit sebanyak dapat dimasukkan dalam buku itu kelak.
"Kalau tidak dapat muka surat pertama, muka surat terakhir pun tak apa asalkan bagi (peruntukan)" ujarnya.
Sebelum ini, Saarani bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan beberapa orang Exco telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengemukakan senarai permohonan daripada kerajaan negeri Perak yang berjumlah lebih RM3 bilion.
Katanya, bagaimanapun pada waktu itu Kementerian Kewangan sedang dalam proses untuk memperhalusi cadangan-cadangan Bajet 2023.
#PerakKini #Bajet2023 #Malaysia #Perak ##RBZ