LaraMag

collapse
Home / JENAYAH / Kastam Perak rampas rokok seludup bernilai RM1.3 juta termasuk cukai

Kastam Perak rampas rokok seludup bernilai RM1.3 juta termasuk cukai

Aug 09, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok pelbagai jenama bernilai RM1,371,688.84 termasuk cukai dalam serbuan di tiga negeri berasingan pada 27 Julai lalu. Pengarah JKDM Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata tiga lokasi tersebut adalah di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Menurutnya, serbuan itu dibuat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam satu Sekatan Jalan Raya (SJR) pada jam 8.15 pagi di susur keluar tol Sungkai bagi membantu siasatan. "Susulan tangkapan itu, pihak kastam membuat serbuan di rumah yang dijadikan stor simpanan rokok seludup di Puchong, Selangor dan Bandar Baru Seri Petaling, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. "Hasil serbuan, pihak kastam berjaya merampas rokok pelbagai jenama yang disyaki larangan kastam sebanyak 1,817,960 batang dengan keseluruhan nilai rokok termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM1,371,688.84," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata kesalahan itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. "Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. "Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," jelasnya. JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. #PerakKini #JKDM #Perak #seludup #rokok #RBZ      

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.