Oleh Rosdalilah Zahari
GOPENG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan bertoleransi dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang meletakkan pembelian bersyarat ke atas jualan barangan kawalan kepada pembeli terutamanya gula dan minyak masak peket.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurutnya, mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut boleh dikenakan denda antara RM1 juta hingga RM5 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali.
"Kita tidak akan berkompromi terutama bagi mereka yang melakukan kesalahan sama berulang kali.
"Jadi saya sarankan kalau ada bukti sila tampil.
"Kalau peniaga kata pemborong letak syarat yang sama, pemborong kata pengeluar juga letak syarat yang sama, maka kita mohon setiap peringkat itu membuat aduan dan juga menampilkan saksi dan kita tidak akan kompromi ke atas perkara itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Jualan Rahmah Bergerak di Dewan Bandaran Gopeng, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi dan Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.
Dalam pada itu, sejak awal tahun sehingga 1 September, KPDN telah menerima 71 aduan berhubung perkara tersebut di seluruh negara.
Menurutnya, 17 daripada aduan tersebut sudah diambil tindakan manakala enam lagi masih dalam siasatan.
#PerakKini #KPDN #barangkawalan #gula #minyakmasak #RBZ