Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Jenazah bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Panglima Kinta di sini, pada Rabu.
Terdahulu, lebih 100 jemaah menyertai solat jenazah di Masjid Panglima Kinta yang diimamkan Imam Besar Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh sejurus van jenazah tiba kira-kira 2.20 petang.
Turut kelihatan menyertai solat jenazah adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada jam 3.15 petang.
Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5 pagi tadi di hadapan ahli keluarganya di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur akibat radang paru-paru.
Bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu meninggalkan dua balu, Datin Seri Che Ezatul Hamsiah Hussein, 77, dan Sharifah Shahrul Bariah Syed Mokhtar, 66, bersama tujuh anak.
Dr Abdullah Fadzil yang dilahirkan di Bukit Chandan Kuala Kangsar, pada 30 Julai 1945 pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Perak serta menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang selama empat penggal dari 1986 sehingga 2004.
Beliau turut dilantik sebagai Orang Besar Jajahan Kinta di Perak dan bersara pada 2015.
#PerakKini #salamtakziah #OBJ #meninggaldunia #RBZ