Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Lianyungang, China menjadi bandar raya kedua selepas Nanning yang menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) dengan bandar raya Ipoh bagi menghubungkan jalinan persahabatan antara kedua-dua bandar raya berkenaan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata hubungan ini memberikan impak positif kepada kedua-dua bandar raya ini terutamanya dari sudut ekonomi dan pelancongan.
Menurutnya, Ipoh dan Lianyungang juga mempunyai fokus yang melalui pelaksanaan ekonomi hijau (smart green economy).
"Hubungan ini diharap memberi manfaat kepada penduduk di kedua-dua bandar raya terutamanya untuk mewujudkan peluang pekerjaan.
"Selain itu, ia dapat membuka ruang bagi mempergiatkan lagi industri perdagangan dan pelancongan serta meningkatkan jalinan kerjasama dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, kebudayaan, sukan, kesihatan dan pendidikan.
"Ini melibatkan Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak, Tourism Perak, Perak Invest, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Dewan Perniagaan Cina Perak," katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata jalinan ini juga membantu untuk mempromosikan Ipoh dan Perak sempena Tahun Melawat Perak 2024.
"Jalinan persahabatan ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan bandar raya Ipoh ke pasaran di negara China.
"Kita juga dalam pertimbangan untuk mewujudkan satu lagi jalinan bandar raya persahabatan di Utara di China pada akhir tahun ini sempena TMP 2024," ujarnya.
Terdahulu, Datuk Bandar Lianyungang, Xing Zhengjun menandatangani Surat Hasrat dengan Rumaizi di Dewan Azlan Shah, Majlis Bandaraya Ipoh, pada Sabtu.
#PerakKini #MBI #Ipoh #Perak Lianyungang #China #RBZ