Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gunung Rapat, di sini dijangka akan dibuka dan beroperasi pada penggal persekolahan tahun 2023.
Penyelaras MCA Gopeng, Cally Ting berkata, Barisan Nasional (BN) Gopeng telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyelesaikan isu pembukaan bangunan SJKT Gunung Rapat yang bertangguh sejak sekian lama.
"Susulan itu, pasukan khas BN Gopeng yang terdiri daripada MIC dan MCA Gopeng ditubuhkan bagi mengambil inisiatif dalam mengatasi isu ini," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Beliau berkata pasukan khas itu mendapat kerjasama daripada Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango.
"Sepanjang tiga bulan ini, kami telah bermesyuarat dengan Kementerian Pendidikan serta kontraktor dan perunding yang terbabit dalam projek ini," jelasnya.
Tambahnya, pasukan khas terbabit berjaya mengenal pasti masalah yang timbul dalam masa singkat dan seterusnya mengkoordinasikan semua pihak bagi memastikan bangunan baharu itu dapat dibuka dan digunakan pada penggal persekolahan tahun hadapan.
"Pada hari ini, melihat segala kekurangan bangunan ini telah dibaiki.
"Kami percaya selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat menjalankan pemeriksaan serta memberikan kelulusan, Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) akan dapat dikeluarkan dalam masa yang terdekat.
"Apabila bangunan ini mula beroperasi, satu kelas pra sekolah yang dapat menampung 25 orang murid akan dibuka.
"Tiada yuran bulanan dikenakan dan makanan percuma juga akan diberikan.
"Justeru, ibu bapa digalakkan untuk mendaftar bagi anak yang berkelayakan secepat mungkin," jelasnya.
Terdahulu Cally mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan yang turut dihadiri Naib Ketua MCA Gopeng, Kok Pak Foo; Ketua Biro Strategik Bahagian MCA Gopeng, Dr Wayne Lee; Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Annuar Baharudin; Ketua MIC Bahagian Gopeng, R Magendran dan Setiausaha MIC Bahagian Gopeng, M Prabhakaran.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing bersama wakil ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi aman di hadapan bangunan baharu sekolah berkenaan.
Pada demonstrasi itu mereka mendakwa sudah menunggu lebih 13 tahun untuk pindah ke bangunan baharu namun selepas siap terdapat beberapa isu yang masih belum diselesaikan.
#PerakKini #SJKTGunungRapat #operasi #2023