Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - "Video tular itu menjadikan saya dan beberapa orang rakan kambing hitam," kata Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari.
Beliau berkata demikian bagi menyelar kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan terhadapnya berkaitan isu kalimah ALLAH yang dilihat mengelirukan orang ramai sedangkan keputusan isu tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu mendakwa isu itu seolah-olah sengaja ditimbulkan untuk digunakan sebagai modal politik menjelang Pilihan Raya Negeri.
"Saya melihat isu tersebut dalam konteks hak kebebasan beragama dan kitab tersebut bukan untuk disebarkan kepada umum sebaliknya ia hanya digunakan untuk penganut Kristian di Sarawak.
"Saya juga diminta oleh peguam untuk memberikan kenyataan afidavit secara bertulis dan kes itu diputuskan oleh Hakim di Mahkamah Tinggi dan bukan saya yang putuskan.
"Kenapa Takiyuddin tak berani mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi itu, kenapa saya yang dijadikan sasaran.
"Saya ingin menjelaskan bahawa afidavit itu diberikan atas dasar individu bukan atas nama DAP," katanya dalam satu sidang media khas yang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak
Beliau turut menegaskan di bawah Perlembagaan, Islam adalah bidang kuasa negeri dan raja hanya boleh bertitah bagi pihak negeri.
"Untuk negeri yang tidak beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan, (soal agama Islam) di bawah Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Terdahulu, tular video di platform media sosial berhubung kenyataan Takiyuddin di Parlimen baru-baru ini berkaitan afidavit kes Jill Ireland dan penggunaan kalimah ALLAH.
Selain mengkritik Abdul Aziz, Takiyuddin turut mengaitkan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Prof Madya Dr Azmi Sharom pada sidang media tersebut.
#PerakKini #kalimah #ALLAH #JillIrelandBill #RBZ