LaraMag

collapse
Home / JENAYAH / Ibu, bayi 3 bulan maut kemalangan babit dua kenderaan

Ibu, bayi 3 bulan maut kemalangan babit dua kenderaan

Oct 11, 2022  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Seorang wanita bersama bayi lelakinya berusia tiga bulan maut manakala suaminya cedera parah dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 34 Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands, tengahari tadi. Mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang kereta Perodua Myvi dikenal pasti sebagai Nor Syahira Mohd Fadhail, 23 dan anaknya, Muhammad Rayyan Nauffal Amyroul Shah Huszaiery. Manakala suaminya, Amyroul Shah Huszaiery Yusry, 23, mengalami kecederaan parah. Dua beranak yang meninggal dunia itu di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan mangsa cedera turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan. Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian kemalangan itu kira-kira jam 1 petang. Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian pihak polis mendapati kemalangan itu membabitkan kereta jenis Mercedes Benz dan Perodua Myvi. "Hasil siasatan awal mendapati, kereta Perodua Myvi yang dinaiki tiga sekeluarga itu datang dari arah Cameron Highlands. "Semasa kereta tersebut mengambil selekoh menuruni bukit, ia bertembung dengan kereta Mercedes Benz yang datang dari arah Simpang Pulai. "Akibat pelanggaran itu, pemandu Perodua Myvi seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah manakala seorang penumpang perempuan berusia 23 tahun dan bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia di tempat kejadian. "Pemandu kereta Mercedes Benz seorang lelaki warga tempatan yang berusia 25 tahun turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki," katanya dalam satu kenyataan media malam ini. Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. "Berikutan kejadian itu, pihak polis menyeru kepada saksi yang menyaksikan kejadian tersebut supaya berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Koo Boon Kuat di talian 016-417 3222 untuk membantu siasatan," katanya. #PerakKini #kemalangan #maut #SimpangPulai #CameronHighlands  

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.