Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Siasatan berhubung video tular memaparkan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang didakwa membuat tafsiran sendiri ke atas ayat Al-Quran diserahkan kepada Bukit Aman untuk tindakan lanjut kata Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Menurutnya, setakat ini Polis Perak hanya menerima satu laporan berhubung perkara tersebut dan laporan pertama (asal) dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
"Di Perak kita hanya menerima satu laporan polis dan kita rujuk laporan asal yang dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak.
"Kes ini disiasat oleh USJT (Unit Siasatan Jenayah Terkelas) Bukit Aman," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pada Jumaat.
Semalam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) bertindak membuat laporan polis berhubung perkara itu dan meminta siasatan serta tindakan dikenakan ke atas Howard Lee kerana dianggap menghina agama Islam.
Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri menyelar tindakan Howard Lee yang disifatkan sebagai kurang ajar serta mendakwa Ahli Parlimen Ipoh Timur itu mentafsir serta memutarbelit tafsir ayat 59, surah An-Nisa yang dimuat naik dalam akaun TikTok milik pemimpin DAP itu.
Bagaimanapun, video berdurasi empat minit itu sudah diturunkan daripada akaun TikTok Howard Lee.
#PerakKini #PDRM #DAP #tafsir #AlQuran #RBZ