LaraMag

collapse
Home / POLITIK / Hamidah Osman umum keluar PUTRA

Hamidah Osman umum keluar PUTRA

Aug 10, 2022  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Datuk Hamidah Osman mengumumkan keluar dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dalam satu sidang media yang diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini. Berikutan itu, beliau turut melepaskan semua jawatan yang disandangnya dalam parti berkenaan. Hamidah berkata beliau amat sedih dan kecewa dengan keputusan Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali yang  menyertai Gabungan Tanah Air (GTA) di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. "Gabungan diterajui Tun M (Mahathir) yang menggunakan slogan Bersatu demi Melayu dan Islam hanyalah retorik politik dan dilihat satu usaha untuk menipu rakyat. "Demi prinsip dan tanda hilang kepercayaan saya kepada Presiden dan kepimpinan PUTRA yang bertindak bekerjasama dengan Tun M, maka saya melepaskan semua jawatan saya dalam PUTRA serta keluar parti itu serta-merta. "Saya tidak mampu menggalas dosa menipu orang Melayu dan tidak tergamak menggunakan slogan perjuangan Melayu demi kepentingan peribadi sama ada untuk saya, Ibrahim Ali, dan Tun M atau sesiapa sahaja," jelasnya. Dalam perkembangan berkaitan, Hamidah turut menjelaskan bahawa beliau bukan seorang yang gila atau kecewa jika tidak diberikan jawatan. "Dengan kesediaan saya meninggalkan semua jawatan dan kedudukan adalah bukti saya tidak gila jawatan. Saya hanya ingin berdiri sebagai seorang penjuang yang menegakkan kebenaran dan keadilan demi bangsa, agama dan negara," ujarnya. Beliau turut menasihati Dr Mahathir supaya berhenti daripada terus menipu rakyat dan memintanya supaya bersara dari politik. "Saya tidak mahu bersekongkol dengan Tun M untuk menipu rakyat dan menjadi seorang yang hipokrit demi sesuatu kepentingan," katanya lagi. Khamis lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selaku pengerusi penaja mengumumkan penubuhan GTA bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil bagi mengurangkan jurang antara kaum ketika ini. Timbalan-timbalannya terdiri daripada Presiden empat parti gabungan yang menyertai gerakan itu. Antara timbalan itu ialah Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Presiden PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Presiden Parti Iman, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak. #PerakKini #keluarparti #Putra #Perak #Malaysia  

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.