LaraMag

collapse
Home / UMUM / ​ Uncle Yip dah dapat basikal!

​ Uncle Yip dah dapat basikal!

Nov 03, 2021  Admin Perak Kini  28 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Penantian kira-kira empat bulan Yip Foong Yin, 70, atau lebih mesra disapa Uncle Yip untuk memiliki basikal roda tiga baharu berakhir apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyerahkan kenderaan itu kepadanya hari ini. Basikal itu disampaikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud di kabin Uncle Yip yang terletak di pinggir Sungai Pinji dekat Taman Pakatan Jaya, di sini. Rumaizi berkata, sumbangan basikal roda tiga itu adalah di bawah program MBI Prihatin bagi memudahkan Uncle Yip meneruskan perniagaan buah-buahannya yang terhenti buat sementara waktu disebabkan basikal lamanya yang rosak serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19. Menurutnya, bantuan ini adalah salah satu usaha MBI bagi memastikan masyarakat terus terbela terutamanya mereka yang berhadapan dengan masalah miskin bandar. "Kita akan membantunya dengan memberikan peluang perniagaan supaya dia dapat menjana pendapatan dan bukan setakat bantuan 'one off' sahaja," katanya kepada Perak Kini ketika ditemui pada Rabu. [caption id="attachment_1323" align="aligncenter" width="300"] Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud (dua kiri) bersama ​Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji), Dr Richard Ng (dua kanan) dan Uncle Yip pada penyerahan basikal roda tiga baharu itu hari ini.[/caption] Beliau berkata, pihaknya ada menawarkan Uncle Yip untuk tinggal di tempat yang lebih selesa namun dia lebih suka untuk menetap di lokasi sama. "Dia ada kebun dan selalu berniaga di Taman Perpaduan. Tempat berniaga tak jauh dan mempunyai kabin. Jadi, dia rasa selesa dan tak mahu berpindah," jelasnya. Rumaizi turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji), Dr Richard Ng, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat yang banyak memberi sumbangan kepada Uncle Yip bagi meringankan beban warga emas itu. Sementara itu, Richard berharap Uncle Yip boleh berniaga semula bagi mencari pendapatan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada masyarakat yang menderma sahaja. "Kita tak nak sikap macam itu. Kita nak ubah minda dia. Jika kita berjaya dapat ubah sikap dan cara hidup dia, ia akan menjadi contoh baik kepada masyarakat di luar sana," ujarnya. Beliau berkata, dengan adanya basikal baharu itu, Uncle Yip boleh berniaga semula buah-buahannya yang ditanam di kebunnya seperti kelapa, tebu, pisang dan pelbagai jenis lagi di Taman Perpaduan yang jaraknya kurang tiga kilometer dari kabinnya. Sebelum ini, media melaporkan Uncle Yip hidup di rumah usang di pinggir sungai yang menjadi tempat perlindungan hujan dan panas warga emas itu sejak lapan tahun lalu. Kepayahan hidupnya itu mendapat perhatian pelbagai pihak antaranya Datuk Bandar Ipoh, Richard, Pasar Raya Econsave, Persatuan Keselamatan Sukarela Kawasan Bercham (PKSKB) dan Lions Club of Perak Silver State (LCPSS) yang menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada Uncle Yip sejak Julai lalu.

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.