Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Kemasukan hab DE Rantau di bandar raya Ipoh dapat membantu meningkatkan penggunaan mobiliti profesional digital dan pelancongan di negeri ini.
Ipoh adalah lokasi kelima DE Rantau dilancarkan selepas Pulau Pinang, Langkawi, Kuala Lumpur dan Melaka.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sudah mengadakan perbincangan inisiatif DE Rantau bersama beberapa agensi seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak dan Invest Perak sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, program DE Rantau secara tidak langsung menawarkan peluang keemasan kepada rakyat Perak khususnya industri pelancongan.
"Saya turut difahamkan, Ipoh juga menjadi salah satu pilihan utama nomad digital disebabkan permintaan tinggi oleh komuniti tersebut.
"MDEC mensasarkan Perak dan bandar raya Ipoh serta lokasi lain di negeri ini sebagai hab nomad digital pilihan utama di rantau ini, memandangkan pakej yang ditawarkan oleh DE Rantau adalah program terbaik seumpamanya ditawarkan komuniti nomad digital," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran De Rantau @ Ipoh di Hotel Weil di sini pada Rabu.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee; Exco Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Mohd Azlan Helmi Helmi dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.
Saarani berkata, berdasarkan rekod pelancongan pada tahun 2022, Perak antara lima negeri tertinggi tumpuan pelawat domestik dengan 14.6 juta pelancong.
"Daripada jumlah tersebut, 97.7 peratus pelancong domestik dan selebihnya pelancong asing. Manakala, menjelang tahun hadapan, Kerajaan negeri mensasarkan seramai lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong luar negara berkunjung ke Perak bagi Tahun Melawat Perak 2024," jelasnya
Katanya, ini adalah masa terbaik untuk bangkit semula memperkasakan sektor pelancongan Perak sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
#PerakKini #KerajaanNegeriPerak #MDEC #DeRantau #RBZ