LaraMag

collapse
Home / UMUM / Dari 1 jam jadi 15 minit, Jambatan Bagan Datuk - Sejagop bantu jimat masa perjalanan

Dari 1 jam jadi 15 minit, Jambatan Bagan Datuk - Sejagop bantu jimat masa perjalanan

May 19, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Jambatan Bagan Datuk - Sejagop sepanjang 1.5 kilometer (km) yang dibina sejak 2017 akan dibuka untuk laluan orang ramai dalam masa terdekat . Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata sebelum adanya jambatan itu, orang ramai yang mahu bergerak ke dari Bagan Datuk ke Pasir Salak perlu menempuh perjalanan sejauh lebih 50 km. Menurutnya, pembukaan jambatan ini akan memanfaatkan kira-kira 70,000 penduduk sekitar termasuk pelajar di beberapa institusi pendidikan berdekatan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bagan Datuk, Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA) dan Politeknik Bagan Datuk. "Sebelum ini, jarak perjalanan menggunakan Laluan FT069 (Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk) dan FT005 (Jalan Teluk Intan-Lekir) akan mengambil masa lebih satu jam dengan jarak perjalanan melebihi 50 km. "Dengan adanya jambatan ini, perjalanan hanya mengambil masa kurang 15 minit sahaja," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Jumaat. Beliau berkata pembinaan jambatan itu secara tidak langsung dapat memendekkan perjalanan ke pekan-pekan kecil dari kawasan sekitar Pekan Bagan Datuk, Selekoh, Sungai Sumun dan kampung berdekatan antaranya Kampung Kayan, pekan Sri Iskandar, Bota, Parit, Changkat Lada di Perak Tengah, Sitiawan, Manjung dan Lumut. "Saya percaya kesan limpah daripada pembinaan jambatan ini akan membantu merancakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi kawasan setempat disokong dengan rangkaian hubungan, aksesibiliti dan mobiliti," katanya. #PerakKini #jambatan #BaganDatuk #Sejagop #PasirSalak #RBZ    

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.