Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengenakan kompaun sebanyak RM250 ke atas premis perniagaan yang gagal mematuhi notis pemasangan dan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata peruntukan kompaun itu adalah selaras di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan, atas kesalahan melanggar syarat lesen premis perniagaan.
Menurutnya, setakat ini 95 peratus premis perniagaan sekitar Ipoh sudah memasang bendera.
"Kita akan bagi nasihat dahulu sebelum kompaun dikenakan ke atas premis yang tidak memasang bendera seperti mana yang ada dalam syarat lesen.
"Bagaimanapun, tindakan itu hanya akan dilaksanakan jika premis terbabit masih degil berbuat demikian selepas nasihat diberikan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBI 2023 di hadapan Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Isnin.
Sementara itu, Rumaizi berkata bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan kali ini, MBI mengeluarkan 4,000 notis pemasangan bendera kepada premis-premis kerajaan dan swasta serta memasang 7,000 helai Jalur Gemilang di sekitar Ipoh.
"Semoga Hari Kemerdekaan yang bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan pada tahun ini membawa perpaduan, kebebasan, kedamaian dan kesejahteraan kepada penduduk Ipoh," ujarnya.
#PerakKini #MBI #pasang #JalurGemilang #HariKemerdekaan #Ipoh