LaraMag

collapse
Home / UMUM / 'Belanja' penduduk Kampung Orang Asli Tonggang 500 Langos sempena hari jadi

'Belanja' penduduk Kampung Orang Asli Tonggang 500 Langos sempena hari jadi

Jun 14, 2022  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari
ULU KINTA - Sempena menyambut ulang tahun ke-38, pengusaha langos, Barak Norbert @ Adam Mat Salleh dan isteri, Elsuraya Mohamed menyantuni penduduk Kampung Orang Asli Tonggang dengan menggoreng 500 makanan tradisional berasal dari Hungary itu untuk diberikan secara percuma.
Elsuraya berkata, dia dan suami sudah lama merancang untuk memberi makanan kepada golongan istimewa yang sukar untuk ke kedai mereka di Kampung Teluk Bakong, Bota.
"Jadi saya berbincang dengan suami untuk melakukan satu kelainan supaya kami membawa langos kepada orang yang tidak mampu ke kedai bagi merasai sendiri keenakkan langos.
"Kebetulan bulan ini adalah hari jadi suami, jadi kami berbincang dan bersetuju untuk mencari lokasi sesuai untuk menggoreng langos.
"Akhirnya, kami bertemu dengan Penghulu Tanjung Rambutan, Robiah Mohamed serta Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman dan hari ini kami dapat menggoreng langos di Kampung Orang Asli Tonggang untuk dinikmati penduduk di kawasan itu," katanya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Tonggang, di sini pada Selasa.
[caption id="attachment_2100" align="aligncenter" width="300"]
Penduduk Kampung Orang Asli Tonggang Ulu Kinta menikmati langos.[/caption]
Katanya, langos adalah sejenis roti goreng yang digoreng garing dan ditaburkan keju diatasnya.
"Bagaimanapun, untuk mengikut citarasa rakyat Malaysia kami menyediakan kaya dan sambal ikan bilis yang dibuat sendiri, coklat serta mengekalkan keju dan krim masam (sour cream).
"Kami berasa seronok kerana penduduk di sini dapat merasai langos yang satu-satunya terdapat di negara ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Adam berkata mereka juga bercadang untuk menambah satu lagi makanan tradisional Hungary pada masa hadapan.
"Jika ada rezeki, kami akan cuba memperkenalkan satu lagi makanan dari Hungary iaitu kurtoskalacs (roti gulung dipanggang atas arang),"ujarnya.
[caption id="attachment_2101" align="aligncenter" width="300"] Mazlan menyuapkan kek hari jadi kepada Adam sempena hari jadinya bulan ini di Kampung Orang Asli Tonggang, Ulu Kinta.[/caption]
Sementara itu, seorang penduduk, Rosalina Anjang, 36, berkata dia pertama kali merasai makanan dari luar negara itu.
"Saya baru pertama kali rasa langos dengan sambal ikan bilis dan coklat serta keju. Ia amat sedap dan saya rasa beruntung kerana dapat merasa makanan dari luar negara," katanya.
Surirumah, Samsiah Ngah, 46, pula berkata makanan ini sesuai dengan tekak orang Malaysia dan semua peringkat umur boleh menikmatinya.
Kepada mereka yang masih belum mencuba langos boleh ke gerai mereka di Batu 14 3/4 Kampung Telok Bakong, 32600 Bota, Perak.
Gerai mereka dibuka setiap Jumaat hingga Ahad dari jam 2 hingga 6.30 petang.
#PerakKini #Langos #Hungary #viral #Bota #Perak

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.