LaraMag

collapse
Home / JENAYAH / Bayi 6 bulan maut disyaki didera, pengasuh 52 tahun ditahan

Bayi 6 bulan maut disyaki didera, pengasuh 52 tahun ditahan

Jul 15, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Seorang bayi perempuan berusia enam bulan yang dipercayai menjadi mangsa dera pengasuhnya meninggal dunia semalam selepas berada dalam keadaan koma selama tiga hari di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini sejak Rabu lalu. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata hasil siasatan mendapati bayi terbabit dipercayai dihantar pengasuh dari rumahnya di Taman Tawas Indah ke hospital untuk mendapatkan rawatan pada 12 Julai lalu. Menurutnya, selepas melihat keadaan bayi terbabit, pihak hospital mengesyaki kecederaan yang dialami mangsa adalah akibat didera. "Pada Rabu lalu, kita menerima laporan polis daripada pihak HRPB memaklumkan mengenai seorang pesakit iaitu bayi perempuan berusia 6 bulan berada dalam keadaan koma dan terdapat kesan lebam di badan. "Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. Beliau berkata, siasatan polis membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 52 tahun yang juga pengasuh mangsa secara sepenuh masa sejak Mac tahun ini. Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari mulai semalam sehingga 17 Julai ini untuk siasatan lanjut. Yahaya berkata, selepas mangsa didapati meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Pediatrik Kanak-Kanak (PICU) HRPB, kes tersebut diklasifikasi semula sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini menunjukkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul. #PerakKini #PDRM #HRPB #dera #bayi #maut #Ipoh      

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.