Oleh Rosdalilah Zahari
KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook meluangkan masa selama dua jam meninjau keadaan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya ketika waktu puncak pada petang tadi.
Beliau yang berbaju kemeja, bertopi dan memakai pelitup muka berwarna hitam turun padang
bagi melihat sendiri keadaan sebenar yang dilalui penumpang yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
Tinjauan itu dilakukan tanpa pengetahuan pihak Prasarana dan media supaya beliau dapat merasai sendiri apa yang dilalui penumpang setiap hari.
"Petang tadi, saya meluangkan masa 2 jam untuk meninjau keadaan sebenar perkhidmatan LRT KJ line semasa peak hour di antara pukul 5-7 petang.
"Keadaan cukup sesak dalam tren dan sudah tentu tidak selesa kepada penumpang.
"Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang biasa untuk merasai apa yang mereka perlu lalui setiap hari," ujarnya dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.
#PerakKini #MenteriPengangkutan #LRT #KelanaJaya