Gerik- Anak muda ini berketurunan orang asal dari Suku Temiar, berusia 30 tahun.
Kemenjadian beliau sebagai seorang imam di Surau Diri Jumaat di RPS Dala, Banding, Gerik adalah hasil usaha kerajaan sejak tahun 1993 mewujudkan jawatan Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA). Ustaz Sabri bin Samiri merupakan insan yang membimbing beliau selama 13 tahun di Koa Sg Urat, RPS Dala, Gerik, Perak.
Azman mendapat pendidikan menengah di Sek Men Agama Rakyat (SMAR) Nurul Hidayah, Kampung Orang Asli Kenang, Sungai Siput, Perak. Sekolah tersebut merupakan satu-satunya sekolah menengah agama berasrama khusus untuk pelajar orang asli dibawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Sebahagian guru-gurunya juga merupakan daripada Orang Asli.
Kini, Saudara Azman merupakan salah seorang daripada 17 orang imam dari kalangan masyarakat orang Asli yang bertugas di 29 buah surau Diri Jumaat di KOA seluruh negara. Apa yang menariknya adalah, mereka akan menyampaikan Khutbah Jumaat di dalam bahasa suku masyarakat Orang Asli.
Alhamdulillah, bacaan Al-Quran beliau bagus dan lunak, kami mendengar sendiri bacaan Al-Quran beliau di KOA Sungai Tebang, Gerik serta beliau menjadi imam solat pada malam sebelumnya. Beliau merupakan naib Johan Qari Orang Asli Peringkat Negeri Perak tahun 2017.
Bahagian Dakwah, Jakim