Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Walaupun pelbagai pihak mendesak supaya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang lalu, namun Alumni Belia 4B menyatakan pendirian untuk terus menyokong beliau menerajui parti tersebut.
Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut akan tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan Ahmad Zahid di dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, sokongan itu dibawa dalam resolusi pada perhimpunan agung tahunan (AGM) NGO tersebut hari ini.
"Kita di pihak Alumni 4B Malaysia membuat keputusan yang mana kita akan buat resolusi pada esok hari (Sabtu) dan akan menyokong institusi Presiden UMNO.
"Ini kerana kita tidak mahu ada kucar kacir di dalam UMNO itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sempena Majlis Makan Malam dan Perasmian Perhimpunan Agung Alumni 4B di Pusat Konvensyen Casuarina di sini. malam tadi.
Perasmian perhimpunan itu disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut dihadiri Setiausaha Agung Pertubuhan Alumni 4B Malaysia, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim serta Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Dalam pada itu, Syed Azmi Ahmad berkata pertubuhan tersebut tidak bersetuju dengan segelintir pemimpin UMNO yang menyuarakan ketidakpuasan hati secara terbuka terutama selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, sedangkan mereka boleh berbuat demikian dalam perbincangan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Katanya, semua pihak dari pelbagai peringkat dalam UMNO perlu menggalas tanggungjawab bersama dan tidak boleh menuding jari pada Presiden UMNO sahaja.
#PerakKini #Alumni4B #sokong #PresidenUMNO #RBZ