Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Seorang pekerja warga asing maut dalam insiden runtuhan kuari batu kapur yang berlaku berhampiran lokasi kejadian sama tahun lalu di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini pada Selasa.
Ketika kejadian, mangsa, Sohail Sajad, 36, warga Pakistan bersama dua rakan sekerja lain sedang menjalankan kerja mengalihkan batu menggunakan jengkaut di kawasan tersebut sebelum dimaklumkan berlaku runtuhan kecil.
Ketiga-tiga pekerja kuari itu meninggalkan kawasan tersebut selepas mendapat arahan namun mangsa berpatah balik ke lokasi untuk mengambil barang dan runtuhan berlaku.
Difahamkan, kawasan kuari tersebut sudah lama ditinggalkan dan tiada kerja-kerja letupan dijalankan di situ.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.56 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi anggota yang melakukan pemantauan di sekitar kawasan itu mendapati masih ada runtuhan kecil dan tidak selamat.
"Anggota mula menjalankan kerja mencari dan menyelamat (SAR) selepas keadaan stabil. Namun keadaan di sekitar kawasan tidak selamat untuk kerja-kerja pengorekan dibuat jadi operasi jadi kita tangguh sebentar.
"Bila dah selamat baru pasukan kita turun dan mendapati mangsa berada di bawah mesin jengkaut dengan runtuhan batu di atasnya. Jadi, kita minta bantuan daripada pihak kuari untuk menggunakan mesin jengkaut bagi mengalihkan batu yang berada di atas jengkaut yang menghendap mangsa tersebut," katanya ketika sidang media di BBP Simpang Pulai pada Selasa.
Katanya, selepas batu berjaya dialihkan kawasan kuari itu kembali tidak stabil dan pada jam 1.45 kerja-kerja untuk mengeluarkan mangsa dihentikan sebentar.
"Ketika mengeluarkan mangsa kita mendapati tangan mangsa tersekat runtuhan dan pada jam 2.25 petang dua anggota STORM (Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia) dan lima anggota dari BBP Simpang Pulai cuba untuk korek tangan mangsa yang tertimbus secara manual dan memecahkan batu yang masih menimpa tangan mangsa.
"Mangsa berjaya ditarik keluar dalam keadaan sempurna sifat pada jam 2.36 petang serta diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Sayani berkata mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Katanya, kerja-kerja menyelamat hari ini disertai anggota dari BBP Simpang Pulai, pasukan STORM, polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Mineral dan Geosains Perak.
#PerakKini #PDRM #JBPM #jengkaut #hempap #batu #maut #RBZ