LaraMag

collapse
Home / POLITIK / Ahli, pemimpin UMNO, PKR di Perak didakwa bakal berhijrah ke PN

Ahli, pemimpin UMNO, PKR di Perak didakwa bakal berhijrah ke PN

Aug 06, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Lebih ramai ahli serta pemimpin dari UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak didakwa akan berhijrah ke Perikatan Nasional (PN). Ini berikutan tindakan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Dr Nik Mohammad Azli Nik Ariffin dan bekas Ketua Pemuda UMNO Tambun, Faridzul Azlan Abd Shani yang diumumkan menyertai PN oleh Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa pada Jumaat. Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang mengesahkan perkara tersebut berkata, kedua-dua bekas pemimpin muda UMNO dari Perak itu bukan baharu menyertai PN di bawah komponen Parti Pribumi Bersatu (Bersatu). "Sebenarnya, Ketua Pemuda UMNO Bagan Datuk sudah menyertai Bersatu sebelum PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) pada tahun 2019, manakala Ketua Pemuda UMNO Tambun pada bulan lepas sudah isi borang menyertai Bersatu bahagian Ipoh Barat. "Kalau semalam (Jumaat) mereka menyertai Pas itu terpulang kepada mereka tetapi rekod yang ada pada kita itulah. "Di samping itu mungkin ada pemimpin dari peringkat akar umbi yang menawarkan diri menyertai Bersatu," katanya kepada media ketika ditemui di sini pada Sabtu. Dalam pada itu, Zainol Fadzi berkata selain UMNO, terdapat mantan pemimpin PKR yang akan menyertai parti berkenaan. "Saya tidak boleh sebut dengan rasmi (nama mantan pemimpin PKR) kerana ini digerakkan oleh beberapa rakan di bahagian Taiping termasuk di bahagian Utara Parit Buntar dan Bagan Serai. "Jadi saya rasa ini satu perkara baik kepada kami. Soal apa alasan mereka kita tidak pertikaikan, yang itu terserah kepada mereka. "Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bersama dengan PN sama ada dengan Bersatu atau Pas," kata Setiausaha Bersatu Perak itu. #PerakKini #PerikatanNasional #Bersatu #Pas #UMNO #PKR #RBZ  

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.