LaraMag

collapse
Home / POLITIK / Ada 'gerakan' cuba menggulingkan Kerajaan Perak - Saarani

Ada 'gerakan' cuba menggulingkan Kerajaan Perak - Saarani

Aug 17, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan terdapat 'gerakan' yang cuba menggulingkan Kerajaan Perpaduan di negeri ini. Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, gerakan tersebut dipercayai cuba memujuk empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) bagi mendapatkan majoriti mudah. Katanya, berikutan itu 33 ADUN Kerajaan Perpaduan mengadakan perjumpaan secara bersemuka bagi mengelakkan syak wasangka antara satu sama lain. "Memang ada gerakan itu dan bukan setakat mereka mengeluarkan kenyataan akhbar. "Nampaknya mereka tak berpuas hati dengan keputusan PRN (Pilihan Raya Negeri) sebab mereka mengharapkan jika PN dapat merampas enam negeri bermakna dia nak gambarkan satu gelombang baharu penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan tetapi ia tak berlaku. "Sebab itu kita berjumpa beramai-ramai sebab kita tak mahu ada dalam kalangan 33 ADUN ini saling syak wasangka di antara satu sama lain. Mereka setia dengan Kerajaan Perpaduan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama ADUN Kerajaan Negeri Perak di Hotel Impiana di sini, pada Khamis. Pada pertemuan itu, empat ADUN kerajaan tidak hadir kerana terikat dengan urusan rasmi iaitu ADUN Kepayang, Nga Kor Ming; ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Jalong, Loh Sze Yee dan ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad. #PerakKini #KerajaanPerak #guling #gerakan #RBZ      

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.