Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Polis menjangkakan kira-kira 80,000 orang akan menghadiri sambutan Thaipusam yang berlangsung selama lima hari bermula esok.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata berikutan itu, berapa jalan di sekitar daerah Ipoh akan ditutup secara berperingkat bermula esok sehingga 7 Februari ini.
Menurutnya, kemuncak perayaan Thaipusam yang bakal disambut pada Ahad ini akan diadakan di dua lokasi iaitu di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Jalan Raja Musa Aziz dan di Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Sungai Pari, Buntong di sini.
"Sehubungan itu, bagi melancarkan perjalanan dan keselamatan lalu lintas acara sambutan perayaan ini, beberapa jalan utama di bandar raya Ipoh akan ditutup atau dilencongkan secara berperingkat bermula 6 petang esok," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, antara laluan yang terlibat ialah Jalan Sungai Pari, Jalan Tun Perak, Jalan Lahat, Jalan Sultan Yusoff, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Laxamana, Jalan Dato' Onn Jaafar serta Jalan Raja Musa Aziz.
"Susulan penutupan jalan tersebut, pengguna jalan raya khususnya warga Ipoh dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan semasa penutupan jalan dibuat," katanya.
#PerakKini #Thaipusam #jalan tutup