LaraMag

collapse
Home / UMUM / 8 projek loji rawatan kumbahan, paip pembentungan di Ipoh siap November

8 projek loji rawatan kumbahan, paip pembentungan di Ipoh siap November

Aug 15, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Lapan projek loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembentungan di sekitar Ipoh dijangka siap sepenuhnya pada November ini. Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Datuk Seri Dr Mohamad Nizar Jamaluddin berkata lapan lokasi projek itu adalah di Jalan Tambun (hadapan Hospital Pantai dan bawah jejantas), Jalan Tingkat Taman Ipoh, Jalan Kelab Golf, Jalan Othman Talib, Jalan Bijeh Timah, Jalan Batu Bungkal dan Jalan Kamaruddin Isa. Menurutnya, projek di Jalan Tambun (berhadapan Hospital Pantai) dan Jalan Batu Bungkal dijangka siap pada Ogos ini. Katanya, projek tersebut mula dilaksanakan kontraktor Mangkubumi Sdn Bhd pada tahun 2015 dan sepatutnya siap pada September tahun ini selepas lanjutan tempoh masa diberikan untuk kali keenam. "Sebahagian kerja-kerja memerlukan masa yang agak lama untuk disiapkan kerana terdapat struktur bongkah batu bawah tanah di kawasan tersebut. "Setakat ini, projek yang terlibat siap lebih 90 peratus. Bagaimanapun, kontraktor meminta tarikh baharu kerana terdapat masalah serius untuk diselesaikan. "Justeru, kerajaan negeri akan meminta bantuan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) untuk memantau projek tersebut," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa. Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil maklum berkaitan Pelan Pengurusan Trafik (PPT) yang dilaksanakan oleh kontraktor di kawasan projek pada masa kini amat mendukacitakan dan sangat teruk seperti jumlah pemasangan papan tanda amaran dan kon yang amat terhad. "Perkara ini menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya dan menimbulkan persepsi bahawa tiada sebarang kerja-kerja pembinaan dilaksanakan oleh pihak kontraktor," ujarnya. Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mungkin akan melaksanakan tindakan susulan dengan mengambil kesemua wang deposit projek berkenaan daripada kontraktor bagi melakukan kerja-kerja penurapan semula jalan raya mengikut spesifikasi yang sepatutnya. #PerakKini #KerajaanNegeriPerak #IWK #MBI #jalan #RBZ

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.