Oleh Rosdalilah Zahari
MANJUNG - Dua nyaris lemas, manakala tujuh lagi berjaya menyelamatkan diri dalam insiden bot terbalik ketika melakukan aktiviti rekreasi berhampiran pantai peranginan Teluk Batik dekat sini pada Isnin.
Kejadian itu membabitkan tujuh pelancong tempatan dan dua kru berusia antara tiga hingga 34 tahun.
Difahamkan sewaktu kejadian, bot tersebut ingin menurunkan penumpang di tepi Pantai namun hilang kawalan lalu terbalik ke sebelah kiri sehingga menyebabkan air masuk ke dalam bot dan menenggelamkannya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata berkata bot dikendalikan dua kru itu membawa tujuh orang daripada dua keluarga termasuk kanak-kanak berusia tiga dan enam tahun yang datang melancong.
Menurutnya, pihaknya panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 10.58 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Manjung bergegas ke lokasi.
"Ketika tiba di lokasi, kita mendapati sembilan orang termasuk dua kru yang menaiki bot terbabit.
"Dua daripada mangsa iaitu seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 17 tahun dan seorang wanita berusia 34 tahun didapati lemas namun berjaya diselamatkan oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang terbabit diberikan bantuan kecemasan pernafasan oleh anggota penyelamat.
Katanya kedua-dua mangsa di bawa ke Hospital Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut dan operasi tamat pada jam 12.15 tengah hari.
#PerakKini #TelukBatik #lemas #Manjung #RBZ