LaraMag

collapse
Home / UMUM / 387 Perajurit Muda TUDM tamat latihan

387 Perajurit Muda TUDM tamat latihan

Sep 02, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Seramai 387 pelatih Perajurit Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menamatkan latihan mereka di Akademi Tentera Udara (ATU) di sini pada Sabtu. Upacara Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 66/23 di Padang Kawat ATU yang dirasmikan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan. Pada upacara perbarisan itu, Muhammad Azmin Hakimi Mohd Adzmi, 20, dipilih sebagai penerima Anugerah Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan dan menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara, manakala Fradza Anak Nita, 20, pula dipilih sebagai Perajurit Muda Udara Akademik Terbaik. Anugerah Flait Terbaik Keseluruhan disandang Flait Bravo yang turut menerima Piala Pusingan Komandan. Terdahulu, Mohd Asghar Khan dalam ucapannya berpesan  supaya pelatih yang terlibat akan terus gigih berusaha untuk meningkatkan tahap kepakaran, kompetensi dan pengetahuan demi memenuhi aspirasi untuk menjadi seorang anggota TUDM yang cemerlang dan profesional dalam bidang kepakaran masing-masing. "Sikap positif dan komitmen yang tinggi dalam mengutamakan kepentingan perkhidmatan dan negara melebihi kepentingan peribadi merupakan kriteria yang paling utama dalam mendokong kejayaan dan kecemerlangan organisasi," katanya. Beliau juga turut menzahirkan penghargaan kepada semua pelatih termasuk jurulatih dan ibu bapa pelatih sehingga berjaya menamatkan latihan. Kumpulan pelatih Siri 66/23 telah memulakan latihan pada 6 Mac lalu seterusnya menjalani latihan asas ketenteraan selama 24 minggu. Mereka melalui tiga fasa latihan iaitu fasa pertama melibatkan latihan asas ketenteraan, fasa kedua pelajaran serta akademik dan fasa ketiga melibatkan latihan, ujian praktikal serta pembentukan sahsiah. #PerakKini #TUDM #tamatlatihan #PerajuritMuda #RBZ  

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.