LaraMag

collapse
Home / UMUM / 300 ekor ayam segar RM1 'licin' tak sampai sejam

300 ekor ayam segar RM1 'licin' tak sampai sejam

Sep 03, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views

Oleh Rosdalilah Zahari

GOPENG - Sebanyak 300 ekor ayam segar yang dijual dengan harga RM1 ‘licin’ dalam kurang satu jam selepas diserbu pengguna sempena pelancaran Program Jualan Rahmah Bergerak (PJRB) peringkat negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng di sini pada Ahad.

Orang ramai sekitar Gopeng khususnya sudah mula beratur seawal jam 8 pagi bagi mendapatkan barangan runcit terpilih antaranya beras, minyak masak peket, tepung, sardin dalam tin, sayur-sayuran dan ayam yang dijual dengan harga diskaun sehingga 30 peratus.

Bagaimanapun, program jualan tersebut hanya berlangsung untuk hari ini sahaja dan bergerak mengikut lokasi ditetapkan seperti mana yang akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melalui hebahan di media sosial.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata lori berkapasiti lima dan 10 tan untuk digunakan bagi jelajah PJRB di kawasan terpilih seluruh negeri Perak.

"Sehingga kini, PJRB berjaya menjangkau rakyat di bandar, pinggir bandar dan luar bandar meliputi 575 lokasi di seluruh negara.

"Sebanyak 1,748 lokasi Program Jualan Rahmah (PKR) dan PJRB dilaksanakan di 1,748 lokasi atau 7 lokasi setiap parlimen sejak diperkenalkan pada awal tahun ini membabitkan model program dalam premis, luar premis, dan bergerak (mobile).

"PJRB atau #KedaiCariRakyat terbukti dapat memberi kesan yang positif dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup rakyat di semua peringkat termasuk kawasan yang tiada pasaraya atau pasaraya besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan PJRB dan Aduan Suri di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi dan Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.

#PerakKini #KPDN #JualanRahmahBergerak #Gopeng #RBZ


Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.