Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Tiga kakitangan dan seorang pelatih Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Perlop, Sungai Siput ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelatih dalam pusat pemulihan tersebut baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam kejadian pada 31 Januari lalu lebih kurang jam 12.55 tengah hari, pihak polis menerima maklumat berhubung kematian seorang lelaki warganegara tempatan berumur 50 tahun di pusat pemulihan berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan ditemui pada bahagian badan mangsa.
"Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput (U) Perak dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
"Hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan di bahagian belakang badan mangsa akibat dipukul dengan menggunakan objek tumpul," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan tiga kakitangan dan seorang pelatih pusat pemulihan tersebut yang berumur lingkungan 30 hingga 38 tahun untuk membantu siasatan.
"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 2 sehingga 8 Februari ini dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Yusri menasihati masyarakat supaya jangan menularkan maklumat yang tidak sahih kepada umum dan membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
#PerakKini #PDRM #tahan #PUSPEN #Perlop #SungaiSiput