BERUAS - Buat julung kalinya dalam sejarah Parlimen Beruas, sebanyak 27 kampung berganding bahu menyambut Hari Raya Aidilfitri secara bersama dalam satu majlis penuh meriah dan bersejarah.
Program Riang Raya Parlimen Beruas 2025 yang berlangsung di Dewan SMK Raja Shariman berjaya menarik kehadiran lebih 3,500 pengunjung.
Program anjuran Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dengan kerjasama erat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ini menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian komuniti setempat.
Setiap kampung membawa juadah istimewa hasil air tangan komuniti masing-masing. Antara menu yang mencuri tumpuan ialah kambing bakar, air tebu segar serta pelbagai sajian tradisi kampung yang menggunakan produk komuniti Sejati Madani.
Khemah, hadiah cabutan bertuah dan hamper juga turut disumbangkan menerusi kerjasama platform Sejati Madani.
Majlis turut dimeriahkan dengan Pertandingan Gemerlap Aidilfitri Parlimen Beruas 2025 yang menyaksikan sebanyak 24 kampung mengambil bahagian dalam menghias kawasan mereka dengan tema warna-warni dan kreatif bermula sejak 24 Mac lalu.
Semua penyertaan menerima sagu hati sebanyak RM1,000.
Senarai pemenang utama pertandingan ialah:

- Johan: Kg. Bakar Bata (RM3,000)
- Naib Johan: Kg. Tualang / Buruk Bakul (RM2,000)
- Tempat Ketiga: Kg. Tebuk Yan (RM1,000)
- Kg. Matang Kerian – Warisan Tradisional.
- Kg. Sg. Batu – Unik & Beridentiti.
- Kg. 40 Rantai – Komuniti Sepakat.
- Kg. Tanjung Ara – Cahaya Harapan.
- Kg. Banjar – Ceria Cahaya.
