Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Sebanyak 2,162 peket minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg) bernilai RM5,405 dirampas di sebuah kedai runcit di Parit Buntar dalam Operasi Ayam, Telur & Minyak Masak (Op ATM) Fasa II.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata selain itu, pihaknya turut mengesan 10 kes membabitkan kesalahan kegagalan dalam mengemas kini penyata stok dan deklarasi dokumen.
Dalam operasi yang dilaksanakan sejak 1 Julai lalu itu juga beliau berkata sebanyak 478 pemeriksaan ke atas rantaian bekalan minyak masak paket 1 kg bersubsidi telah dijalankan.
Menurutnya, kesalahan itu termaktub di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDNHEP memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat melakukan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan atau subsidi serta pengenaan syarat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pemeriksaan yang dijalankan turut membabitkan operasi pengauditan dan pemutihan terhadap pengilang, pemborong serta premis runcit termasuk 26 syarikat pembungkus (repacker) minyak masak peket bersubsidi yang beroperasi di seluruh negeri ini.
Katanya, tumpuan diberikan kepada tempat penyimpanan bekalan, pemprosesan pengeluaran dan pembungkusan minyak masak peket, selain mendapatkan deklarasi atau maklumat lengkap daripada pengusaha premis yang diperiksa berkaitan minyak masak.
"Kita sentiasa mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dengan kerjasama pelbagai pihak berkuasa melalui Op Bersepadu bagi membanteras dan memerangi kegiatan penyelewengan minyak paket bersubsidi.
"Justeru, orang ramai diminta menjadi mata dan telinga dalam melaporkan sebarang salah laku dan aktiviti mencurigakan terutamanya berkaitan barangan bersubsidi seperti minyak masak peket," ujarnya.
#PerakKini #KPDNHEP #minyakmasak #ops #rampas #Perak